Wednesday, December 8, 2010

Jauh

Aku lihat dia jauh,
Jauh amat mata memandang,
Aku meripitkan mata,
Aku menabikkan cahaya becar,

Tunggu aku!
Antara dengar dengan tidak,
Aku merasa sebaliknya,
Dia tidak berpaling,
Malah berlari jauh!

Aku raba jalur-jalur akalmu,
Aku dapat merasanya,
Ya! Aku merasanya,
Tapi aku tidak menjadi perasa.

Tunggu!
Aku mahu sebaris denganmu,
Sebelum asar berlabuh,
Walau berangkak mengesot,
Aku akan tiba jua,
Bila dan dimana?
Masa akan menjawapnya.

N.A. Faisal
6 Ramadhan / Ogos 2010

Ketenangan Semalam


Matahari datang lagi,
Dipangkal timur terpancar kemerahan,
Matahari memberitahu,
Aku datang lagi.

Burung-burung berterbangan,
Menerawang melintasi cahaya kemerahan,
Bermain di muka lautan tenang,
Dibayangkan liuk lintuk ombak pagi.

Ketenangan menghampiri,
Deru-deru angin,
Ombak memukul di kaki,
Teriakan anak murai kelaparan,
Ibu mendodoikan anaknya dari jauh,
Mata ayah menyelam di kiri dan kanan,
Mencari belalang dan cacing kemabukan.

Aku membuka mata,
Bulat matahari memenuhi ruang bola mata,
Dirusuh kehingaran,
Ketenangan semalam,
Takkan datang.

N.A. Faisal
Oktober 2010

Aku Bersyukur

sesuatu yang aku bersyukur...
beberapa artikal aku baca pada hari ini sungguh membaurkan perasaan. gembira, sedih, terharu, dan paling aku dapat rasai ialah ketakutan. tapi tidaklah ketakutan yang histeria tu. artikal aku baca tu pasal saudara baru. saudara baru ni yang aku faham, seseorang yang mula memeluk agama Islam. sememangnya suci dan murni (seakan-akan slogan minyak masak Seri Aji) niat dan kehendak mereka menjadikan agama Islam sebagai agama pilihan. aku tidak mahu berkisahkan tentang agama Islam. semua sudah tahu akan kesucian agama Islam, yakni agama Allah SWT dan agama yang terbaik serta menyeluruh untuk kehidupan umat manusia.
aku sangat terharu dan hormat dengan azam mereka. seperti sedia maklum, apabila seseorang itu memeluk agama Islam, ia seperti fitrah semasa kelahiranya. namun titik kehidupan mereka tidak berhenti disitu. mereka secara sedikit demi sedikit dan berperingkat mula mendalami Islam. daripada dulu arak, judi, sembah tok pekong, dan macam-macam lagi amalan agama lain selain Islam mula ditinggalkan dan akidah mereka sudah mengikut syarak serta mengikut landas Islam yang sebenar.
perkara yang paling aku tabik, meraka yang dulunya menyembah tok pekong, sudah menyembah sujud pada Allah yang Esa. sembahyang mereka tidak tinggal. malah lebih rajin dan tidak sesekali meninggalkannya. satu perkara lagi yang aku suka pada mereka, mereka bersemangat mendalami ilmu Islam. mereka pandai mengaji al-Quran, malah lebih fasih dan pandai daripada orang Islam keturunan ini.
aku menjadi takut bila mengetahui dan mula memahami Kuasa Allah SWT yang KUN FAYAKUN. cuba tengok kafir yang daripada lahir sembah tok pekong pun diberikan hidayah untuk berminat pada Islam dan diangkat darjat mereka bersama dalam agama Islam. mereka ini telah diberi hidayah. hanya dengan kuasa Allah. aku sangat-sangat bersyukur dan teramat bersyukur kerana sudah dilahirkan dan diberikan nikmat daripada lahir untuk hidup didunia ini sebagai Islam. aku takut kalau-kalau aku dilahirkan dalam agama yang menyembah tok pekong dan tidak diberi petunjuk. maka tempat aku di akhirat nanti tentunya NERAKA. nauzubillah...
melihat pula banyak kisah-kisah orang yang sudah dalam agama Islam mahu murtad yakni memohon daripada pejabat agama untuk menukar agama. tidakkah mereka tahu niat dan percubaan mereka itu sudah mempamerkan mereka mula untuk murtad. nauzubillah... berdiri bulu roma aku. aku takut dengan situasi ini. walau seteguh mana pun iman kita, tetapi dengan kuasa Allah, kita boleh dijadikan apa-apa sahaja dengan kehendak-Nya. oleh itu aku sering bersyukur dan bertaubat dan diharapkan taubat aku diterima-Nya. sedangkan Nabi sendiri yang maksum dan terpelihara serta dijaga oleh Allah bertaubat 70 kali sehari. kita yang hanya dosa dihujung jari ini liat untuk bertaubat.
aku sememangnya sangat bersyukur kerana aku adalah seorang Islam. dan memohon agama ini menjaga aku, dan Allah memberi petunjuk kepadaku untuk kekal dalam agama-Nya.

Saturday, November 6, 2010

Marah Ombak

Engkau berdesir lembut,
Memberi ketenangan dijiwaku,
Aku menikmati ketenangan ini,
Aku damai ketenangan ini,
Aku tenang ditenangkan.

Kadang engkau marah,
Tidak lagi berdesir lembut,
Malah merempuh kuat benteng,
Bergegar batu dan simen,
Kotoran kau simbah bersama,
Sisa tumpahan minyak dan sampah sarap,
Hanyir isi laut dan serpihan kayu reput,
Bukan berdesir tapi merempuh marah.

Pada ketenangan yang disalahgunakan.

N.A. Faisal
Oktober 2010

Ketenangan Semalam

Matahari datang lagi,
Dipangkal timur terpancar kemerahan,
Matahari memberitahu,
Aku datang lagi.

Burung-burung berterbangan,
Menerawang melintasi cahaya kemerahan,
Bermain di muka lautan tenang,
Dibayangkan liuk lintuk ombak pagi.

Ketenangan menghampiri,
Deru-deru angin,
Ombak memukul di kaki,
Teriakan anak murai kelaparan,
Ibu mendodoikan anaknya dari jauh,
Mata ayah menyelam di kiri dan kanan,
Mencari belalang dan cacing kemabukan.

Aku membuka mata,
Bulat matahari memenuhi ruang bola mata,
Dirusuh kehingaran,
Ketenangan semalam,
Takkan datang.

N.A. Faisal
Oktober 2010

Kematian


Aku lihat kematian,
Dekat denganku,
Aku merasai kepedihannya,
Aku menderita menanggungnya.

Aku makin diseksa hati,
Apabila kematian dimain-main,
Hatiku kehujanan,
Kebanjiran,
Namun tidak pada manusia.

Kematian hanya mainan,
Dikambus tanpa pengkebumian!

N.A. Faisal
Oktober 2010

Sunday, October 31, 2010

Penyelamat yang Dayus

Semua membiarkan,
Kanak-kanak itu kelemasan,
Tergamaknya…
Anda penyelamat yang dayus!

Kanak-kanak kelemasan dilaut bebas,
Tergapai tercapai tenggelam timbul,
Penyelamat memegang pelampong,
Memakai jaket keselamatan,
Namun dibiarkan.
Dibiarkan kanak-kanak itu!

Anda penyelamat yang dayus!

By,
N.A. Faisal
7 Oktober 2010

Friday, October 29, 2010

Terkedik-kedik

Terkedik-kedik,
Terkedik-kedik,
Celaka kau pohon krismas!
Kau menari terkedik-kedik,
Macam itik berjalan sekawan,
Kau gembira ditiup angin petang.

Terkedik-kedik,
Terkedik-kedik,
Kau memang celaka!
Masih terkedik-kedik,
Terkedik-kedik,
Kau tidak menyenangkan hati aku!
Yang sudah tiada
Bila kau berhenti terkedik-kedik.

N.A. Faisal
28 Oktober 2010
PHS 2, USM

Monday, October 25, 2010

Sujudku

Layakkah aku di dunia ini,
Jika dosa yang menjadi mainanku,
Setiap langkah kakiku menapak,
Tiada terkecuali dosa melekat.

Masihkah aku diterima disisi-Nya,
Setiap dosa yang kubuat,
Setiap itulah balasan bersilat,
Menyedarkan aku yang tersesat,
Keinsafan sementara yang tiada kudrat.

Tuhanku,
Jemputlah aku kembali,
Jika dosa patut diakhiri.

Tuhanku,
Hanya ini permintaanku yang satu,
Janganlah dibiarkan tubuhku terkujur kaku,
Ketika dosa dalam jiwa masih berlagu,
Pujuklah rohku kembali kepada-Mu,
Ketika sujudku hanya pada-Mu.
Lailahaillallah..

By,
N.A. Faisal
November 2009

Thursday, October 14, 2010

Aku akan mengerti

Aku makin mengerti,
Disebalik azimat bait kata,
Dibenih dilubuk dasar hati,
Ilham tiba yang bakal pergi,
Sempatku penjara pendamai hati.

Setiap bait kata bahasa,
Lahirnya dari hati,
Aku akan mengerti,
Nilai sebuah puisi,
Lenggok tari Mak Yong sejati,
Titik noktah dewasakan diri.

N.A. Faisal
Ogos 2010

Tuesday, October 12, 2010

Strategi Meningkatkan Kemahiran Motor Halus Kanak-kanak



Kemahiran motor halus ialah kemahiran yang melibatkan otot-otot kecil pada tubuh badan seperti keupayaan untuk menulis, meramas objek yang kecil, dan mengenakan pakaian.  Kemahiran motor halus juga memerlukan kekuatan, kawalan motor halus, dan kecekapan. Oleh itu, ibu bapa merupakan individu yang paling utama dan penting dalam meningkatkan dan mengasah kekuatan kanak-kanak untuk menghadapi kemahiran motor halus, dan seterusnya menzahirkan kecekapan kanak-kanak apabila mereka dapat mengawal pergerakan motor halus. Guru juga merupakan individu yang tidak kurang pentingnya pada zaman sekarang dalam usaha mengasah perkembangan kemahiran motor halus kanak-kanak. Hal ini kerana, ramai dalam kalangan masyarakat sekarang ibu bapa yang bekerja. Maka mereka akan menghantar anak-anak mereka ditempat menjaga kanak-kanak. Dalam perkembang dunia sekarang, guru akan menjadi galang ganti mengajar kanak-kanak meningkatkan kemahiran motor halus mereka sejajar dengan perkembang umur.
Oleh itu, guru perlulah merancangkan dan melaksanakan pelbagai strategi dan aktiviti bagi tujuan meningkatkan kemahiran motor halus kanak-kanak. Antara aktiviti asas pada saya ialah dengan melakukan aktiviti menconteng pada kertas atau dinding yang dikhaskan untuk tujuan diconteng oleh kanak-kanak. Guru perlu memberi pensil atau krayon  dan kertas kepada kanak-kanak dan menyuruh mereka menconteng. Dengan cara ini, kita sebagai guru akan dapat memerhatikan cara pegangan pensil, koordinasi mata dengan jari, gerakan bibir kanak-kanak yang bergerak semacam menyatakan fantasi disebalik contengan yang diaspirasikan pada kertas yang diconteng itu. Walaupun hasil yang diperolehi pada contengan itu buruk dan tidak berguna pada orang yang tidak mengerti maknanya, namun hasil seni itu sangat bermakna dan bernilai seni pada kanak-kanak yang menghasilkannya.
Oleh itu, guru juga perlulah pandai mendalami isi hati dan pemikiran kanak-kanak dan seterusnya memberi pujian yang sepatutnya. Kanak-kanak tentunya akan berasa bangga dan seterusnya guru perlulah pandai mengubah corak pengajaran daripada yang tidak berstruktur kepada berstruktur dan terancang. Gaya seterusnya ialah, guru perlu memberi lukisan kartun yang menarik perhatian mereka. Lukisan itu memerlukan mereka menyambung titik-titik putus pada lukisan itu. Dengan ini, pergerakan tangan dan jari mereka akan lebih berhati-hati dengan usaha menyambung titik-titik tersebut agar lukisan kartun yang mereka usahakan menjadi cantik dan mendapat pujian daripada guru. Hal ini kerana, kanak-kanak sudah pandai dan ada sikap menarik kepada penghargaan. Apabila kanak-kanak dapat melaksanakan tugasan itu, sudah pastinya kemahiran motor halus mereka semakin berkembang denagn diiringi dengan koordinasi mata dan kebolehan mengawal motor halus mereka. Tetapi perlu diingatkan bahawa, setiap langkah ini bukanlah senang ibarat kata lidah yang mengeluarkan ayat teori, partikalnya pastin lebih sukar dan memerlukan tingkat kesabaran dan kasih sayang oleh guru untuk mengajar.
Selain itu, satu strategi yang amat menarik untuk diaplikasikan kepada kanak-kanak dalam usaha meningkatkan kemahiran motor halus mereka ialah dengan aktiviti menuang bahan daripada bekas yang kecil kepada yang besar. Apabila kanak-kanak dapat mengusai kemahiran itu, guru mengubahnya dengan aktiviti menuangkan bahan daripada bekas yang besar kepada bekas yang kecil. Konsep bagi aktiviti ini ialah perkara yang senang dilakukan dahulu dan apabila kanak-kanak menguasainya, tugasan diubah daripada senang kepada susah. Bahan-bahan yang boleh digunakan untuk aktiviti ini adalah seperti air, pasir dan bijirin.
Contoh aktiviti yang boleh dilakukan ialah, guru menyediakan baldi dan gayung (cetong dalam loghat Kelantan), besan (untuk diisi air), dan air. Mula-mula guru meminta kanak-kanak memegang gayung dan menceduk air daripada besen dan menuangkan ke dalam baldi. Pada permulaan guru perlulah membimbing kanak-kanak dengan memegang tangan mereka. Apabila mereka sudah menguasainya, guru perlulah memudarkan peneguhan atau bimbingan yang diberikan. Aktiviti ini perlu dilakukan beberapa kali bagi melihat dan meningkat penguasaan kanak-kanak untuk aktiviti ini. Guru juga perlu memerhatikan koordinasi mata dengan tangan tentang cara kanak-kanak lakukan adakah koordinasi itu seimbang atau sebaliknya.
Seterusnya untuk langkah selanjutnya, guru perlu menukarkan tugasan dengan menuangkan air daripada baldi ke dalam gayung. Bimbingan guru amat penting pada tahap ini kerana mereka akan mengalami kesukaran rentetan tugas yang mudah menjadi susah. Apabila kanak-kanak berjaya melaksanakan tugasan ini, maka tingkat penguasaan perkembangan kemahiran motor halus mereka adalah normal pada tahap umur. Jika kanak-kanak itu adalah kanak-kanak bekeperluan khas, kita akan dapat mengurangkan ketidakupayaan mereka. Kata-kata sememangnya manis dan lancer untuk diucapkan daripada bibir yang tidak berpagar.
Oleh itu, strategi ini pastinya remeh bagi sesetengah orang yang jangkal pemikirannya tentang ilmu pendidikan khas. Maka jika kita berpeluang untuk menasihati mereka, berikanlah hujah yang bernas dan terperinci serta memberi pemahaman kepada mereka tentang kebaikan dan tujuan strategi yang kita sebagai guru ini laksanakan terhadap kanak-kanak bekeperluan khas atau normal. Skala keberkesanan strategi yang kita laksanakan akan dapat dibuktikan dengan hasil yang kita perolehi diakhir pengajaran dan pembelajaran.
Kolaj ialah teknik atau cara membuat gambar daripada pelbagai jenis bahan seperti cebisan kertas, cebisan kain, gambar foto yang berwarna­-warni dan sebagainya yang di­cantum-cantumkan dan dilekatkan pada sesuatu permukaan kertas atau lain-lain. Pelbagai jenis kolaj yang menggunakan pelbagai jenis bahan boleh membantu perkembangan motor halus kanak-kanak. Kemahiran menampal kolaj menambahkan kecekapan motor halus kanak-kanak. Contoh mudah kolaj ialah, guru menyediakan lukisan yang disukai oleh kanak-kanak seperti kartun, rumah (rumah saya pada imaginasi mereka), kereta, atau lukisan yang diminati dan menarik pada mereka. Seterusnya guru menyediakan juga gam, gunting, dan bahan kolaj seperti kertas atau foto yang berwarna warni atau cebisan kain atau kesemuanya sekali.
Guru memberi arahan agar kanak-kanak mengunting bahan-bahan yang disediakan yang menjadi kesukaan mereka. Arahan ini bukanlah perintah sambil berpeluk tubuh memandang mata membiarkan kanak-kanak mengunting sesuka hati kehendak rasa mereka sahaja, tetapi bimbingan guru amat penting disertai bersama arahan yang diberikan. Apabila bahan kolaj itu digunting dalam pelbagai bentuk, bahan itu akan ditampalkan pada lukisan. Langkah ini akan diulang sehingga lukisan itu penuh dan sempurna serta menjadi menarik. Guru juga boleh meminta kanak-kanak menunjukkan kepada kawan-kawan mereka hasil seni tersebut. Perkara ini merupakan satu bentuk penghargaan kepada mereka. Mereka akan berseronok dalam aktiviti yang dijalankan oleh guru dan tidak sabar untuk menunggu aktiviti lain pada kemudian hari.
Oleh yang demikian, jari-jemari kanak-kanak yang bergerak semasa menggunakan gunting merupakan suatu perkembangan motor halus yang hebat dan sebaris dengan peringkat umur kebolehan mereka. Kanak-kanak yang hiperaktif pula akan belajar untuk melakukan kerja secara berhemah dan teratur serta kemas. Koordinasi mata akan secara serentak berkembang dengan kemahiran pergerakan jari. Jika perkara ini tidak dapat dikuasai oleh kanak-kanak berkeperluan khas, maka guru perlulah memperincikan lagi analisis tugasan dan membuat tugasan itu senang pada awalnya dan menjadi susah sedikit demi sedikit agar kemahiran sepatutnya akan dapat dikuasai oleh kanak-kanak.
Selain daripada itu, antara strategi yang dapat meningkatkan kemahiran motor halus kanak-kanak ialah dengan menggunakan teknik mengait manik menggunakan jarum. Strategi ini merupakan cara yang bijak dan berkesan walaupun dilihat remeh. Caranya ialah dengan memberi jarum kepada kanak-kanak. Jarum ini tidak semestinya jarum yang betul kerana akan membahayakan kanak-kanak yang baru belajar. Awas jika mereka mengalami kelukaan, kerana akan membuatkan mereka trauma untuk melakukan aktiviti tersebut dan berkemungkinan aktiviti-aktiviti yang lain. Pada permulaan, guru boleh menggunakan manik-manik yang besar bagi memudahkan mereka mengait manik tersebut.
Apabila mereka sudah mahir dan kawalan motor halus mereka juga sudah mereka kuasai, guru bolehlah memberi jarum dan manik yang sebenar untuk mereka lakukan tugasan itu. Kanak-kanak akan merasa seronok melakukan aktiviti itu apabila aktiviti itu mereka minati. Hasil kerja kanak-kanak juga boleh dijual dan keuntungan akan dapat diagihkan kepada kanak-kanak tersebut. Kanak-kanak akan menjadi lebih seronok apabila mendapat duit. Ibu bapa juga menjadi gembira melihat keupayaan anak mereka menghasilkan hasil kraftangan yang unik dan boleh dikomersialkan walaupun dalam pasaran yang kecil.
Selain itu, guru juga boleh memberi plastisin (play-doh) kepada kanak-kanak. Guru boleh meminta mereka membuat bentuk-bentuk binatang yang pernah mereka lihat. Daripada aktiviti ini akan dapat dilihat kretiviti kanak-kanak berimaginasi dengan pengalaman sedia ada mereka. Sambil mereka bermain, kemahiran motor halus mereka berkembang, kognitif mereka bercambah, afektif dan sosial akan terbentuk.
Bermain permainan seperti "puppet" juga merupakan strategi meningkatkan kemahiran motor halus kanak-kanak yang menyeronokkan. Permainan ini ialah dengan menggunakan ibu jari, jari tengah dan jari kelengkeng. Bahagian motor halus jari, koordinasi mata, sebutan bibir, ruang-ruang wajah akan terlibat dalam permainan ini. “Puppet” juga disebut boneka. Dalam permainan ini, puppet akan dibuat berdasarkan beberapa watak, contohnya watak-watak haiwan dalam cerita “Madagascar” atau watak kisah dongeng “bawang putih bawang merah” guru haruslah kreatif dan pandai menjana kekreatifan kanak-kanak untuk membina watak pilihan mereka.
Apabila sudah selesai watak puppet dibuat oleh kanak-kanak ini, guru bolehlah membina aktiviti yang lain dan berkesinambungan dengan aktiviti yang pertama dan tidak menyimpang daripada objektif asal  pengajaran untuk meningkatkan kemahiran motor halus pelajar. aktiviti ini ialah berlakon sesuatu tema menggunakan puppet mereka sendiri. Semasa berlakon, mereka akan menggunakan jari untuk meggerakkan puppet tersebut, menggunakan mulut (bibir) untuk menuturkan kata skrip, koordinasi mata semasa berkomunikasi sesama mereka.
Secara tidak langsung dan secara langsung, banyak kemahiran yang akan terlibat dan berkembang hasil daripada aktiviti yang ringkas dan bermakna ini. Kemahiran yang terlibat ialah perkembangan kognitif mereka apabila berfikir untuk membina puppet, afektif semasa berlakon bersama, kemahiran komunikasi dan berlakon aksi mimik muka semasa menghayati lakonan tersebut, dan yang paling utama kemahiran motor halus mereka pastinya akan berkembang dan dapat ditingkatkan.
Strategi lain yang boleh digunakan ialah dengan teknik menulis di udara. Teknik ini merupakan sesuatu persediaan kepada kanak-kanak untuk belajar menulis selepas kemahiran dalam mengawal kemahiran motor menerusi aktiviti-aktiviti yang dilakukan sebelum itu. Menulis di udara ini ialah dengan merujuk kanak-kanak akan menulis bentuk huruf pada ruang bebas. Maksudnya bukan pada buku atau papan tulis. antara teknik yang digunakan untuk strategi menulis di udara ialah garisan menegak, garisan melintang, garisan bulatan, dan garisan melengkung menaik. Antara huruf-huruf yang sesuai dalam pengajaran ini ialah huruf  H, D, U, O, T dan lain-lain huruf yang difikirkan mudah untuk kanak-kanak. 
Guru boleh meminta kanak-kanak ini menulis bentuk huruf tersebut di udara dengan bimbingan oleh guru dan seterusnya meminta mereka melakukan sendiri tanpa bantuan. Apabila mereka dilihat dapat menguasai langkah itu, guru perlu memberi gambar huruf-huruf ini yang bertitik putus-putus agar mereka menyambut mengikut titik tersebut. Langkah ini akan mengenalkan mereka kepada rupa huruf A sehingga Z dan memberi pendedahan kepada mereka untuk belajar membaca dan menulis

Sunday, August 22, 2010

Aku Gagak Kelaparan

Aku kelaparan
Ketagih mematikan nyawaku

Aku kelaparan
Menggelepar tidak diam
Walau sesaat

Matiku
Mungkin dalam kedaifan

Aku gagak kelaparan 
Nyawaku hanya buangan
Aku mahu lari
Walau mati dalam kelaparan

2010

N.A.Faisal

Sunday, August 8, 2010

DOA
Chairil Anwar

Tuhanku

Dalam termangu
Ku masih sebut namaMu
Biar susah sungguh

mengingat Kau penuh seluruh
 
Tuhanku
cahayaMu panas suci
bagai kerdip lilin dikelam sunyi

Tuhanku

aku hilang bentuk 
kembara di negeri asing

Tuhanku

PintuMu ku ketuk
aku tidak bisa berpaling 




Monday, April 5, 2010

Dizzy Pen


Tangan dan pen....bukan, cara sebenarnya ialah jari dan pen. aku gelarkan teknik itu dizzy pen. Mengapa dizzy? kerana daripada pegangan koloborasi empat jari iaitu ibu jari, jari telunjuk, jari hantu, dan dibantu oleh jari manis. Dengan kombinasi empat jari ini, pen akan didizzykan 180 darjah. nampak mudah. tapi seluruh tubuh aku menderita kerananya. kekakuan jari hantu untuk menolak pen secara sentimentalnya mengerahkan tenaga yang beku. aku sempat mencipta sajak untuk nasibku ini.

Dizzy Pen

jari berlima diguna empat,
lalu diabai sepi merempat,
merempat bukan tidak berkudrat,
hanya menanti untuk menyekat,
pusingan pening tidak bertempat.

diam membisu tidak bergerak,
menunjang isi terbongkah kudrat,
hanya kecil tetaplah hebat,
keempat lain turut kejap.

luluh hati hilang berat,
ringan berat tiada tumpat,
memanggu tetap menanti siap,
ditolak sedikit bergerak-gerak,
haluannya menbuat hati tertembak.

by,
N.A. Faisal
05 April 2010

Saturday, January 2, 2010

Tabahkan Dirimu

Tabahkan Dirimu

Duhai anak seluang,
Menetas berwarna hitam,
Tidak kenal mana parit atau sawah,
Berjuang hidup bersaing sendiri.

Kecilmu makanan sepat liar,
Rumah rumputmu diselerak tangan manusia,
Kawananmu semua kucar kacir.

Seribu kesukaran payahnya membesar,
Menjadi haruan yang perkasa,
Menjajah serata parit yang luas,
Merantau dari sawah ke sawah.

Sepat lari lintang pukang,
Belalang tidak sempat terbang,
Bayangan manusia tangkas dipatahkan.

Berkat kecekalanmu dari kecil dahulu,
Engkau haruan perkasa digeruni lawan.

Ingatlah,
Takhta teratas tidak selalunya diatas,
Berada di bawah tidak semestinya lemah.


by,

N.A. Faisal
02 Januari 2010
USM, Penang.