Friday, February 25, 2011

Seorang Tua Dikaki Gunung

Kisah Pertembungan Tradisi Kehidupan
Novel Seorang Tua Dikaki Gunung merupakan sebuah novel Azizi Haji Abdullah (ustaz) yang sangat popular dalam lingkungan 80-an dan sehingga ke hari ini bahangnya masih lagi hangat dipasaran. Namun, novel ini pada pengetahuan saya sudah tiada dalam pasaran, kerana sudah tidak dicetak. Pasaran yang saya maksudkan mula-mula tadi ialah dalam kalangan pembaca. Novel ini pernah menjadi tekas sastera Tingkatan 5 pada tahun 1985-1987. Cetakan pertama novel ini ialah pada tahun 1982 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan diulang cetak pada dua tahun berikutnya iaitu pada tahun 1984. Jika dilihat pada situasi ini, sudah menunjukkan yang novel ini sangat popular, jika tidak masakan akan diulang cetak dalam hanya jarak masa dua tahun. saya sendiri sangat gembira dan teruja kerana memiliki novel ini, iaitu cetakan kedua pada tahun 1984. Pada masa itu saya sendiri pun belum lagi dilahirkan. Novel ini yang sangat lama, atau antik pada saya sangat bernilai tinggi kerana dengan pengisiaannya yang menyentuh jiwa dan paling penting ialah mengajar pembaca. Patut pun novel ini dijadikan teks sastera tingkatan 5. Novel ini juga merupakan Pemegang kedua Sayembara Hadiah Novel GAPENA - Yayasan Sabah II (1981). Pada sayembara ini, tiada manuskrip novel yang mendapat tempat pertama. Boleh dikatakan ketika sayembara itu, novel Seorang Tua Dikaki Gunung ini ialah novel yang paling terbaik.
Memilikinya adalah satu kebanggaan . Tambahan dengan hanya bernilai Rm1. Harga asal novel ini pada tahun 1984 ialah $5.50. Saya sangat bernasib baik kerana pada 27 Januari 2011 lepas Alumni USM ada membuat jualan murah. Adalah pelbagai judul buku yang hanya dijual dengan harga RM1. Sedang saya membelek-belek dalam banyak buku-buku, nah terselit novel ini. Terasa bagai mahu melaung dan menempik gembira. Novel ini sudah lama benar saya cari. Tapi tidak disangka ditempat longgokan buku jualan runtuh saya menemuinya. Rezeki katakan! Mungkin pemilik asal mahu menjual buku-buku lama yang dirasakannya tidak mahu dimiliki lagi, dan mungkin beliau mahu menjual dengan harga murah dan meringankan beban sesiapa sahaja yang mahu membelinya. Saya memuji sikap pemilik asalnya, kerana apabila buku-buku tersebut murah harganya, saya sendiri dapat membeli dengan banyak, dan meningkatkan kemahuan dan kerajinan untuk membaca. Ditambah lagi diri ini yang sangat pemalas untuk membaca. Ketika saya mendapatkan autograf penulis novel ini masa program Bicara Interlok di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan pagi tadi (24/02/2011), ustaz Azizi sendiri terkejut kerana saya memiliki novel original ini. Dia memberitahu, sekarang ramai yang mahu mendapatkan novel itu, dan dia sendiri terpaksa fotokopi kepada orang yang mahu memiliki novel itu. Kiranya saya salah seorang yang beruntung memiliki novel Seorang Tua Dikaki Gunung ini. Itu sebabnya saya katakan, memilikinya adalah satu kebanggaan!
            Novel ini memaparkan kisah Tukya iaitu seorang tua dan suami kepada Besah yang merupakan watak utama dalam novel. Mereka dikatakan dalam novel ini ialah penduduk yang mula-mula menduduki kawasan dikaki gunung Bongsu itu. Tukya berhadapan dengan konflik dalaman dengan anaknya sendiri iaitu Fikri dan menantunya Fatimah, cucunya yang sering mengejek ketuanan hidupnya iaitu Farid dan cucu keduanya yang mendambakan hidup seorang penjarah hutan belantara dan kehidupan dikaki gunung Bongsu. Melalui watak Fikri iaitu anaknya sendiri yang membesar dengan hasil hutan tetapi berubah menjadi lupa daratan setelah tercalik asap dibandar dan dijirus udara kemodenan serta diselimuti kesenangan.
Apabila membaca kisah ini daripada mula, saya sudah mula menangkap perlambangan gunung Bongsu yang dinamakan oleh ustaz Azizi dalam novelnya itu. Pada pendapat saya, gunung Bongsu itu bermakna penghujung kehidupan seorang tua yang bernama Tukya. Penghujung itu bukan sahaja dari segi umurnya, tapi penghujung tradisi dan pegangan hidup Tukya yang sudah pun dikerit oleh kemodenan yang dibawa oleh anaknya sendiri. Tukya yang amat berpegang pada tradisi dan pengalaman hidupnya sendiri yang penuh tradisi bagaikan digugat dan dicucuk-cucuk oleh anak dan menantu serta cucunya sendiri. Usaha yang dilakukan oleh seorang tua bernama Tukya itulah melahirkan pelbagai peristiwa dan pembinaan jalan cerita novel ini. Usaha ini juga menunjukkan yang Tukya seorang berpendirian tegas dan kejap mempertahankan tradisinya kehidupannya.
            Selain perlambangan gunung Bongsu itu, banyak lagi perlambangan lain yang dapat dilihat dan difikirkan maksud disebalik perkara yang mahu disampaikan oleh penulis. Contohnya sebatang pokok jati yang lurus hampir dua pemeluk besarnya, kubang babi, lorong denai yang bercabang dua, rumah yang senget dan lain-lain lagi.
Novel ini wajib dibaca, lebih-lebih lagi kita yang sudah pun ditenggelamkan oleh arus kemodenan ini. Corak kehidupan dalam novel ini membuatkan pembaca akan merindui dengan kehidupan dimasa lalu yang indah dan permai serta pembaca akan dihujani dengan kejelekan kepada Fikri yang  mula lupa daratan. Novel ini juga mempamerkan kisah sayang seorang ayah kepada anaknya walaupun anak melukai hati seorang ayah, kisah ketaatan seorang isteri, dan kisah kesialan seorang menantu serta kebodohan seorang anak.
Penamat novel ini akan membuatkan pembaca resah dan marah serta geram. Saya sendiri pun terbit kata-kata “habis gitu jah!”. Tetapi bukan novel ini sahaja, lain-lain novel ustaz Azizi yang saya baca pun, pada penamatnya pasti akan meruapkan perasaan tidak puashati dengan penamatnya. Mengapa terjadi demikian? Adakah mungkin terjadi pada anda? Apa yang membuatkan perasaan itu timbul? Bacalah novel Seorang Tuan Dikaki Gunung untuk mengetahuinya!
Sekian.
Nur Faisal
25 Februari 2011

No comments: