Tuesday, January 3, 2012

Falsafah Kemuncup

 
***Cerita ini ada kaitan antara yang masih hidup ataupun yang bakal mati. hahaha***

“Duduk baik-baik ya sayang”, sambil aku memaut tangannya yang mulus kecil. Kata aku kepada isteri yang sekarang sarat mengandung tujuh bulan anak kami yang ketiga. Dia masih tidak mahu masuk tidur kerana mahu menunggu aku menaip untuk tesis PhD. Setianya isteri aku menunggu seperti sebelumnya. Walaupun dalam keadaan berbadan dua, dia juga seperti aku, masih kuat mahu berjaga malam. Bezanya aku membuat tugasan, dan dia menunggu aku. Sedang aku menaip, aku teringat ketika zaman persekolahan dulu...
***
Ada  satu kisah yang amat mendalam maksudnya dan bermakna dalam hidup aku pada hari itu setelah cikgu Faisal masuk ke kelas tingkatan 6 atas. Mungkin kerana kami sudah besar dan ada sesetengahnya antara kami sudah pun mempunyai kekasih, dan ada juga kawan yang seusia kami di luar sana sudah berkahwin dan beranak pinak. Jadi, kisah yang berlaku pada hari itu amat ironis buat kami semua. Begini...

Cikgu Faisal baru ke kelas kami. Beliau adalah guru ganti yang juga guru praktikal daripada USM. Beliau bukanlah mengajar kelas kami, kerana dia guru Pendidikan Khas. Jadi, sebagai guru ganti kebiasaanya, kami akan disuruh untuk melakukan kerja masing-masing, dan guru hanya akan duduk di mejanya, dan bermain-main telefon. 

Kami pun apa kurangnya, mula merayap dalam kelas, dan berbual-bual, serta bercakap dengan kekasih yang ada kekasih, dan berbual sesama sendiri. Buat kerja masing-masing katakan. Jadi inilah kerja kami.

Namun berbeza dengan cikgu Faisal. Beliau masuk ke kelas, dan selepas memberi salam “assalamualaikum dan selamat pagi”, beliau pun memperkenalkan dirinya. Beliau tidak terus untuk duduk, namun mula bertanyakan nama kami semua, mahu berkenalan katanya. Apabila semuanya sudah diketahui nama. Beliau meminta kami untuk keluar daripada kelas dan berjalan ke padang sekolah yang jaraknya selaung daripada kelas kami.

Kami menyangka akan dilakukan aktiviti padang, atau bermain bola bagi lelaki dan bola jaring bagi perempuan. Tetapi mustahil, kerana kami semua berpakaian seragam sekolah, bukannya pakaian sukan.

Apabila sampai di padang, ketika itu padang ditumbuhi dengan rumput yang tinggi 3 – 4 inci, dan banyaklah kemuncup-kemuncup yang tumbuh memenuhi ruang padang sekolah. Maklumlah bulan ini bulan 7, sukan sekolah sudah lama lepas pada bulan 3 lalu, jadi padang kurang digunakan, jadi pemotongannya jarang dilakukan oleh tukang kebun sekolah.

Cikgu Faisal menyuruh kami beratur memanjang dan mengadap pada padang yang dipenuhi dengan rumput dan kemuncup-kemuncup itu. “Is, saya mahu awak tampil ke hadapan”. Cikgu Faisal bersuara. Nah! Nama aku dipanggilnya ‘Is’. Kawan-kawan pakat la ketawa, nama aku yang penuhnya Isa dan dipanggil ‘Sa’ oleh kawan-kawan. Namun pada hari ini aku mendapat nama baru iaitu Is.

“Ya cikgu, apa kita mahu buat?”, aku bertanya sambil terpinga-pinga dan mengharapkan kawan aku juga kena dan dipanggil sama macam aku. “Ali, awak juga datang kehadapan, Khahfi,  Nurul, Asy, dan Syikin, saya mahu awak semua tampil kehadapan dan berbaris sama dengan Is”. Cikgu Faisal memanggil yang lain tanpa menjawab soalan aku, atau dia sengaja tinggalkan aku dalam tanda tanya. 

“Kita mahu potong rumput guna tangan ke cikgu?” Ali yang sering melawak mula menunjukkan belangnya memecah persoalan terbuku di kepala otak kami. “Tidak, nanti dulu, bertindak mengikut arahan.” Boleh tahan juga cikgu Faisal ni bertindak balas dengan kesengalan Ali.

“Ok, saya mahu  awak IS, Ali, Khahfi, Nurul, Asy, dan Syikin. Carikan saya antara banyak-banyak kemuncup yang ada di hadapan kamu ini yang paling cantik pada pandapat kamu. Dan pastikan kemuncup itu adalah kemuncup yang paling cantik di dunia ini.” 

“Owh, itu senang saja cikgu, saya yang dah cantik ini mesti pilih kemuncup yang cantik juga cikgu,” Asy mula berseloroh dan mendapat sorakan kawan-kawan yang lain. Walaupun sememangnya dia cantik, namun sudah berpunya, kekasihnya kawan aku juga, Azmi namanya.

“Ye la awak cantik,” cikgu Faisal hanya mengiyakan sambil ketawa serta. “Tetapi dengan satu syarat, kamu semua hanya dibenarkan untuk mengambil hanya satu kemuncup sahaja antara yang tercantik itu. Ingat ya hanya satu kemuncup sahaja! Kawan-kawan yang lain perlu perhatikan apa yang kawan-kawan anda lakukan. Ok mula mencari!”

Apabila kami mula mencari, aku sendiri semasa menerima arahan cikgu Faisal sudah pun tangkap pada kemuncup di hadapan aku, yang aku kira paling cantik. Dengan dipenuhi dengan bunga kemuncup, batang yang putih besar, kembangnya seakan bunga teratai, dan amat segar walaupun matahari lama memancar. Aku membongkokkan badan untuk mengambil kemuncup itu aku tengok kaki seluar aku sudah dihinggapi beberapa bunga kemuncup. Aku tidak boleh duduk, nanti bahagian paha seluar dan punggung akan dihinggapi kemuncup juga. Jadi aku hanya membongkokkan badan untuk mengambilnya. 

Aku hampir mahu berteriak untuk memberitahu cikgu Faisal yang aku sudah pun mendapat kemuncup yang paling cantik di dunia ini. Namun! Apabila aku mahu mendongahkan badan, aku lihat di hadapan aku ada juga kemuncup yang kembangnya segar dengan dipenuhi dengan bunga-bunga kemuncup. Aku tanpa berfikir, membuang kemuncup yang pertama dan berjalan ke hadapan untuk mengambil kemuncup yang kedua. 

Setelah mencabutnya, aku lihat dengan perasaan tidak sedap hati. Dalam fikiran aku, kemuncup ini terlalu banyak bunganya sehingga nampak seperti rambut vokalis Alleycats pula. Jadi aku membuangnya dan mencari kemuncup yang lain pula. Semasa berjalan sambil mencari-cari, aku lihatlah Khahfi, Ali, Nurul masih lagi mencari-cari kemuncup yang dirasakan paling cantik. Hanya Asy dan Syikin aku lihat sudah berada dekat dengan cikgu Faisal. Mereka berdua sudah temui kemuncup yang paling cantik aku kira.

Aku sendiri setelah lima batang kemuncup aku buang, dan ini aku kira yang paling cantik dan amat cantik yang pernah aku lihat didunia ini. Aku pun berjalan terus dengan cikgu Faisal melalui padang kemuncup itu tanpa menghiraukan seluar yang sudah dipenuhi dengan bunga-bunga kemuncup.

“Ini ha cikgu, kemuncup yang paling cantik pernah saya lihat” aku memberitahu cikgu Faisal dengan perasaan bangga. “Ini cikgu, lima batang kemuncup yang semuanya cantik, saya tidak boleh pilih satu aja, sebab saya rasa semuanya cantik,” Khahfi  menyatakan sebab dia memilih lebih daripada satu kemuncup kepada cikgu Faisal. Ali pula berjalan sambil melompat-lompat datang tanpa mendapatkan satu pun kemuncup. Dia menyatakan yang tidak temui kemuncup yang paling cantik sebab semuanya sama pada matanya.

Nurul pula, sama seperti Asy dan Syikin, membawa satu kemuncup yang pada mereka amat cantik. Yang bezanya Nurul sama dengan aku, iaitu banyak membuang kemuncup-kemuncup dan mencari-cari yang paling cantik, dan mendapatkan yang paling cantik pada mata kami sendiri. Asy dan Syikin, mereka berdua yang paling awal menemui kemuncup yang paling cantik bagi mereka dengan hanya satu kemuncup.

“Ok semua hero dan heroin kita sudah mendapatkan kemuncup tercantik, jadi mari kita masuk ke kelas untuk aktiviti seterusnya.”

 “Silakan hero dan heroin kita datang ke hadapan dan bawa kerusi anda masing-masing. Kita mahu anda ceritakan pengalaman anda semasa aktiviti tadi dan saya mahu anda mempertahankan mengapa anda cakap kemuncup anda yang paling cantik diantara kemuncup-kemuncup kawan-kawan anda. Saya mahu Khahfi yang amat hebat antara kawan-kawan yang lain dengan memilih lima sekaligus memulakan” 

“Sebenarnya banyak lagi yang saya jumpa dan cabut, namun banyak pula yang saya buang. Lima ini yang terakhir setelah melihat kawan-kawan yang lain sudah mendapatkan kemuncup tercantik mereka. Kalau tidak lagi banyak kemuncup yang akan saya dapat.”

“Saya sudah mencari-cari kemuncup yang paling cantik. Saya juga telah mencabut dan mengambilnya sehingga 10 batang, cuba cikgu tengok seluar saya penuh dengan bunga kemuncup, tapi bila saya lihat balik, kemuncup-kemuncup itu hanyalah sama rupanya, tidaklah cantik. Jadi semuanya saya buang.” Ali buat pertama kalinya bercerita dengan amat serius. Kebiasaannya giginya pasti akan kelihatan apabila menceritakan sesuatu perkara.

Manakala Asy dan Syikin sama sama cerita mereka. Mereka sudah berpuas hati dengan kemuncup yang pertama kali mereka cabut dan itulah yang tercantik pada mereka.

Aku pula. “Cikgu, saya telah cabut yang pertama, yang saya tengok semasa cikgu memberi arahan lagi. Tapi bila saya cabut tu, saya tengok dihadapan saya masih ada yang amat  cantik berbanding dengan kemuncup yang berada ditangan saya. Jadi saya buang dan cabut yang itu. Tapi bila cabut kemuncup itu, saya tengok kemuncup lain lagi cantik. Sehinggalah saya dapat yang terakhir ini yang saya kira paling cantik. Kerana ia tidak lebat bunga-bunga kemuncupnya, hanya sedang-sedang, bunga masih kembang mekar, lilitan bunganya juga tersusun cantik menandakan masih belum ada yang tercabut, dan batangnya putih bersih menandakan kemuncup ini belum pernah terusik oleh sesiapa. Saya orang yang pertama yang menjumpainya dan mengambilnya menjadi milk saya!” 

Semasa aku bercerita itu, aku lihat Nurul sengeh malu. Rupa-rupanya situasi dia sama dengan aku. Mungkin itu sebabnya dia juga hanya dapat satu kemuncup sama seperti aku.

“Terima kasih saya ucapkan kepada hero dan heroin kita, dan berikan tepukan gemuruh buat mereka berenam.”

“Sebenarnya saya mahu anda semua membuat ironi iaitu mencari falsafah disebalik aktiviti dan pengalaman mencari kemuncup tercantik pada hari ini.

“Jika kau semua mahu tahu. Perkara ini samalah dengan kamu mencari kekasih atau isteri bagi lelaki atau suami bagi perempuan. Jangan tersilap tau. Jangan pula lelaki mencari suami. Itu bermakna anda mempunyai hormon yang tidak stabil.” Cikgu Faisal berseloroh.

“Falsafah yang cuba cikgu ungkapkan di sini ialah, kemuncup itu adalah ibarat pasangan hidup kita. Dan bunga kemuncup yang melekat pada seluar anda ialah masalah-masalah yang anda hadapi.”

“Dan apabila anda sudah memilih kemuncup yang terbaik. Pada kemuncup itu terdapat bunga kemuncup, yang juga sama melekat pada seluar kamu. Jadi menjadi tanggungjawab kamu untuk menjaga kemuncup itu agar bunganya tidak mendatangkan masalah kepada kamu.”

“Bagi situasi Khahfi, mengikut falsafahnya, Khahfi mungkin akan berkahwin lebih daripada seorang atau mempunyai ramai kekasih. Kerana bagi beliau semuanya cantik-cantik dan semuanya dia mahu mengambilnya.”

“Betullah cikgu, Khahfi memang ramai kekasih, dia pecinta wanita di sekolah ini,” Sabri mencelah dan membuahkan ketawa oleh kawan-kawan sekelas. Sambil Khahfi menyiku lengan Sabri, yang berada disampingnya.

“Ha betulkan cikgu cakap, tak mengapa Khahfi, itu menandakan awak penyelamat ramai wanita,” cikgu Faisal memberi ulasan sambil disambut ketawa oleh rakan sekelas.

“Ok, bagi situasi Ali. Awak Ali saya kira orang yang cerewet dalam memilih pasangan. Awak popular dan ramai peminat, tapi semuanya awak tolak dan menganggap mereka hanya rakan biasa, bukannya insan istimewa dalam hidup awak, betul atau tidak Ali?”

“Betullah cikgu, saya dah lama minat Ali, tapi dia tak layan je,” pengakuan Azie sekali lagi membuatkan seluruh kelas pecah perut. Azie merupakan salah seorang dalam kelas yang mempunyai badan bersaiz XXL dalam kelas itu membuat pengakuan lisan yang berani.

“Sekarang tiba pula dua orang wakil pahlawanis kita iaitu Asy dan Syikin. Awak berdua tidak perlu risau, kerana dalam semua dalam kelas ini, awak berdua insyaallah orang yang mula-mula berkahwin atau paling awal berpunya. Kerana awak berdua tidak cerewet dan tidak memilih. Bagi awak berdua, yang pertama itu yang terbaik” Asy dan Syikin malu-malu apabila dipuji sedemikian rupa.

Aku lihat kekasih Asy, Azmi juga seakan menonjolkan diri untuk menyatakan dialah yang pertama terbaik itu.

“Dan  yang tinggal sekarang ialah hero dan heroin idaman Malaya kita iaitu Is dan  Nurul. Bagi saya menurut falsafahnya anda berdua adalah secocok untuk menjadi pasangan seiring sejalan ibarat Nabi Allah Sulaiman dan puteri Balqish, sebahagia Nabi Muhammad SAW dengan permaisuri Siti Khadijah, dan sesetia Zulaikha kepada Nabi Yusof”

Aku pada waktu itu berdebar dan mula merasa panas pada muka. 

“Anda berdua ada persamaan dalam memilih pasangan hidup. Anda mencari sesuatu yang terbaik dalam hidup ini untuk dijadikan pasangan yang betul-betul untuk diri anda. Dan pilihan itu memenuhi citarasa serta kehendak hati anda. Walaupun dalam proses pencarian itu, pelbagai dugaan dan cabaran yang anda tempuhi, namun akhirnya anda berjaya juga mencari yang terbaik untuk menjadi pasangan hidup anda selama-lamanya.”

Muka aku masa itu sudah merah padam. Memang rasa panas seluruh muka. Mungkin darah sudah memenuhi ruang muka aku.

“Perkara ini samalah dengan aktiviti kita itu tadi. Anda mencari dan menjumpai kemuncup, tapi membuangnya untuk mencari yang lain sehinggalah mendapat kemuncup tercantik ibarat anda mencari pasangan hidup dan ada yang anda tidak berkenan tetapi akhirnya anda temui pasangan yang betul-betul memenuhi kehendak anda. Dalam masa yang sama seluar anda dipenuhi dengan puluhan bunga kemuncup, diibaratkan anda menghadapi banyak masalah dan masalah itu anda tidak hiraukan setelah mendapat pasangan yang paling anda sukai.”

“Sebab itulah kita lihat tadi Is dan Nurul berjalan selamba saja keredah kemuncup untuk datang berkumpul bersama kawan-kawan, Ali berjalan sambil melompat-lompat kerana tidak mahu seluarnya dihinggapi lebih banyak bunga kemuncup yakni menghadapi lebih banyak masalah. Dan Khahfi..”

Cikgu Faisal berhenti sekejap berbicara, membuatkan semua kelas tersenyum kecuali aku. Aku kira aku yang tidak senyum kerana terlalu malu rasanya dengan ulasan oleh cikgu Faisal.

“Ok Khahfi, awak tiada masalah, kerana bagi awak masalah itu biasa, sebab lima batang kemuncup yang awak boleh ambil bermakna awak boleh handle ramai wanita-wanita.”

Hahaha...kelas waktu itu menjadi seperti padang bola ketika perlawanan akhir. Semuanya menyorak kepada Khahfi, dan Khahfi ketika itu hanya senyum selamba mengiyakan kata-kata cikgu Faisal. Mungkin dalam hatinya berkata ‘aku kahwin empat pun tidak kisah, boleh kawal semua’.

“Bagi Asy dan Syikin pula, anda tidak akan menghadapi apa-apa masalah, kerana anda hanya pilih sahaja. Cuma nasihat saya carilah yang seperti Khahfi nanti awak berdua boleh bermadu”.

Nasihat cikgu Faisal membuatkan Azmi masam kembali kerana namanya tidak disebut sebagai kekasih Asy.

Sekali lagi kelas hampir pecah dengan hilai tawa kami semua. Aku yang tadinya sedikit senyap sudah mula mengukir senyuman ketawa malu-malu.

“Bagi Is dan Nurul, selamat bertemu jodoh saya doakan untuk awak berdua.” Cikgu Faisal berkata sambil menjeling penuh makna pada aku dan Nurul.

“Kamu semua sudah besar dan bakal menempuh alam dewasa serta meninggalkan alam remaja, jadi saya rasa perkara ini memberi makna kepada awak semua. Saya bukannya mengajar untuk awak bercinta semata-mata. Namun, awak semua perlulah pandai mencari cinta yang sebenar. Kerana cinta itu maksudnya bagi bijak pandai ialah rasa tanggungjawab. Apabila anda mencintai seseorang, maka anda mempunyai tanggungjawab terhadap insan yang anda cintai itu. Dan anda juga perlu ingat, cinta yang hakiki hanyalah pada Allah dan Rasul.”

Aku menjeling pada Nurul yang berada sedikit didepan kelas. Dia juga menoleh pada aku dan membuatkan mata kami bertentang beberapa saat yang aku rasakan amat lama sehingga dunia ini aku yang punya. Aku juga perasan yang muka Nurul yang putih itu juga turut kemerah-merahan menahan malu. Pipinya... kemerah-merahan... Oh!...

So!” “Hero dan heroin kita boleh bersihkan bunga kemuncup yang melekat pada seluar dan kain anda sebelum cikgu lain masuk untuk mengajar.” 

Adui ungkapan cikgu Faisal telah memutuskan sambungan karen mata aku dengan Nurul. Dan aku lihat wajah Nurul pun seakan kecewa dengan ungkapan yang tiba-tiba dan kuat itu.
***
Aku berpaling pada isteriku. Dia sudah pun terlena di sofa berhampiran meja tulis aku. Aku lantas menutup komputer. Aku menghampiri isteriku, mencium dahinya, mengusap-usap rambutnya, membelai pipi kemerahan-merahannya yang masih sama seperti pertama kami mata kami bertentang mata di kelas ketika tingkatan 6 atas, dan aku mencium dahinya sekali lagi.

“ Cik Nurul sayang, bangun sayang, kita masuk tidur. Nanti sakit pinggang pula sayang tidur di sini. Jom!”

Aku memegang tangannya untuk dia bangun dan menarik hidungnya dengan manja seperti selalu. Sambil tersenyum, aku terkenangkan peristiwa di dalam kelas cikgu Faisal dan kemuncup. Dan isteriku melihat aku dengan tanda tanya dalam kenanaan kerana mengantuk.
Tamat

(Sumber : dalam kepala hotak berjambul aku)
*gambar itu aku cedok, dan sumbernya anda boleh klik pada gambarnya. tapi ceritanya serius dalam otak aku. 

No comments: