Thursday, March 3, 2011

Daerah Beta

Daerah ini tempat kita,
Daerah ini hidup mati kita,
Daerah ini perjuangan kita,
Daerah ini persaudaraan kita,
Daerah ini perpaduan kita,
Daerah ini milik kita,
Daerah ini hak kita,
Daerah ini DAERAH BETA !




Sebuah lagi novel tulisan Azizi Haji Abdullah. Novel ini diterbitkan pada tahun 2009 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Kisah dalam novel ini merupakan sebuah kisah benar yang berlaku di kawasan Bukit Merah, Perak yang mana penduduk kawasan itu menentang kilang pelupusan sisa radioaktif di daerah mereka. Bukan sahaja daerah itu, namun daerah-daerah sekitarnya juga berganding bahu bergabung tenaga bersatu dibawah payung menuntut hak kehidupan kepada pihak kilang itu agar kilang itu ditutup. Penduduk daerah sekitar kilang itu mengambil masa sehingga lebih kurang 10 tahun dalam usaha mereka untuk membantah kebebalan kilang itu.
Kisah asal penduduk Bukit Merah itu diangkat menjadi sebuah novel oleh Azizi Haji Abdullah yang dalam novel ini disebut sebagai penempatan Baharu Bukit Marah adalah daerah yang ditempatkan kilang ARA yang beroperasi melakukan pelupusan bahan radioaktif yang mengancam nyawa penduduk kawasan sekitar kilang tersebut. 
Apabila membaca novel ini, saya sendiri yang kurang berminat dengan fakta-fakta seperti bacaan kadar radioaktif, nama-nama radioaktif itu sendiri seperti ion, beta, gama, alfa, radiasi, nadir bumi dan lain-lain lagi. Walaupun begitu, saya terus berminat membacanya apabila kisah ini dibentuk sebagai sebuah cereka yang membuatkan saya sendiri teruja untuk menyelak sehelai demi sehelai setiap muka surat novel ini.
Penentangan penduduk penempatan Baharu yang dianggap tali barut Komunis itu sangat jelas dapat dilihat dan mewarnai cerita dalam novel ini. Saya menjadi sayu, terharu, geram, sedih, marah, tidak puas hati dan macam-macam lagi. Kisah penentangan penduduk kawasan itu sungguh tragis dan menyayat hati. Perasaan itulah sebenarnya yang menambat saya untuk terus membaca novel ini. Sulaman rasa keperimanusiaan dan humor yang diselitkan oleh pengarang disilih ganti dengan kekaguman dan kebencian bercampur dengan ketidakpuasaan hati sangat berkesan ditonjolkan oleh Ustaz Azizi.
Dalam novel ini juga dapat dilihat apabila jenayah kolar putih amat jelas dapat dirasai oleh pembaca apabila keputusan Mahkamah dipertikaikan dan dicabuli. Pihak berkuasa menyokong operasi kilang itu yang membuatkan operasi kilang itu bebal untuk terus melakukan aktiviti mereka yang 'membunuh' penduduk setempat. 
Bayangkan penduduk kawasan kilang itu terutama penduduk penempatan Baharu Bukit Marah menyedut udara untuk bernafas ialah debu-debu radiasi yang bertebaran daripada pelupusan nadir bumi dan radioaktif, bukannya oksigen yang segar dan menyamankan minda. Debu-debu itu ialah kepala penyakit yang menyebabkan penduduk mengidap leukemia, bayi yang dilahirkan cacat dengan kepala kecil, dan sindrom down, serta berlaku penghakisan kulit, barah otak dan sering mudah jatuh sakit.
Perkara yang membangkitkan kemarahan penduduk dan saya sendiri yang membacanya ialah, pihak kilang ARA itu sendiri sangat gah beroperasi apabila dengan senang berselindung dengan lesen yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan tempat itu sendiri dijamin oleh pihak berkuasa sebagai tempat selamat. Kilang itu juga dibenteng pihak polis dan polis antirusuhan.
Namun, kisah ini menjadi menarik kerana dijalin mesra dengan watak May gadis Cina yang beragama Islam yang berkahwin dengan Aslee yang dikatakan Melayu sesat dalam penempatan kelompok Cina. Bacalah novel ini, kisah percintaan May dan Aslee sememangnya akan membuatkan anda tersenyum. Gadis Cina itu sungguh menawan hati. Namun, hati ini sudah ditawan oleh gadis antarabangsa. Thai girl.
Satira amat kelihatan dalam novel ini dan saya sendiri sedang memikir-mikir satira yang mahu disampaikan oleh pengarang. Kerana belum lagi tamat pembacaan saya, jadi tidaklah boleh saya membuat kesimpulan dan ulasan saya sendiri tentang novel ini dan satira yang mahu ditunjukkan oleh pengarang. Namun, perpaduan memang amat jelas dapat dilihat dalam kisah novel ini. Perpaduan dalam erti kata yang sebenar! Jika Interlok menjadi pertikaian, jadi saya cadangkan, novel ini boleh diangkat sebagai teks Kesusasteraan Melayu untuk pelajar sekolah. Indahnya perpaduan yang tidak mengenal kau dan aku, kamu dan kami, siapa dan kenapa!
Setakat itu sahaja, nanti tamat pembacaan saya, akan saya sambung ulasan untuk novel ini. Yang paling saya suka membaca novel ini ialah, novel ini ada autograf oleh Ustaz Azizi, dan saya beli novel ini daripada beliau sendiri, bukannya daripada kedai buku. Saya beli ketika ada program Bicara Interlok di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan di USM pada 24/02/2011. Sebelum beli, saya sudah menghantar emel kepada Ustaz Azizi untuk membelinya dan menelefon beliau untuk mengesahkan untuk membeli novel ini. Autografnya seperti ada dibawah ini. Mantap beb! 

autograf oleh Azizi Haji Abdullah




No comments: