***Cerita ini ada
kaitan antara yang masih hidup ataupun yang bakal mati. hahaha***
“Duduk baik-baik
ya sayang”, sambil aku memaut tangannya yang mulus kecil. Kata aku kepada
isteri yang sekarang sarat mengandung tujuh bulan anak kami yang ketiga. Dia masih
tidak mahu masuk tidur kerana mahu menunggu aku menaip untuk tesis PhD.
Setianya isteri aku menunggu seperti sebelumnya. Walaupun dalam keadaan
berbadan dua, dia juga seperti aku, masih kuat mahu berjaga malam. Bezanya aku
membuat tugasan, dan dia menunggu aku. Sedang aku menaip, aku teringat ketika
zaman persekolahan dulu...
***
Ada satu kisah yang amat mendalam maksudnya dan
bermakna dalam hidup aku pada hari itu setelah cikgu Faisal masuk ke kelas
tingkatan 6 atas. Mungkin kerana kami sudah besar dan ada sesetengahnya antara
kami sudah pun mempunyai kekasih, dan ada juga kawan yang seusia kami di luar
sana sudah berkahwin dan beranak pinak. Jadi, kisah yang berlaku pada hari itu
amat ironis buat kami semua. Begini...
Cikgu Faisal baru
ke kelas kami. Beliau adalah guru ganti yang juga guru praktikal daripada USM.
Beliau bukanlah mengajar kelas kami, kerana dia guru Pendidikan Khas. Jadi,
sebagai guru ganti kebiasaanya, kami akan disuruh untuk melakukan kerja
masing-masing, dan guru hanya akan duduk di mejanya, dan bermain-main
telefon.
Kami pun apa
kurangnya, mula merayap dalam kelas, dan berbual-bual, serta bercakap dengan
kekasih yang ada kekasih, dan berbual sesama sendiri. Buat kerja masing-masing
katakan. Jadi inilah kerja kami.
Namun berbeza
dengan cikgu Faisal. Beliau masuk ke kelas, dan selepas memberi salam
“assalamualaikum dan selamat pagi”, beliau pun memperkenalkan dirinya. Beliau
tidak terus untuk duduk, namun mula bertanyakan nama kami semua, mahu
berkenalan katanya. Apabila semuanya sudah diketahui nama. Beliau meminta kami
untuk keluar daripada kelas dan berjalan ke padang sekolah yang jaraknya
selaung daripada kelas kami.
Kami menyangka
akan dilakukan aktiviti padang, atau bermain bola bagi lelaki dan bola jaring
bagi perempuan. Tetapi mustahil, kerana kami semua berpakaian seragam sekolah,
bukannya pakaian sukan.
Apabila sampai di
padang, ketika itu padang ditumbuhi dengan rumput yang tinggi 3 – 4 inci, dan
banyaklah kemuncup-kemuncup yang tumbuh memenuhi ruang padang sekolah.
Maklumlah bulan ini bulan 7, sukan sekolah sudah lama lepas pada bulan 3 lalu,
jadi padang kurang digunakan, jadi pemotongannya jarang dilakukan oleh tukang
kebun sekolah.
Cikgu Faisal
menyuruh kami beratur memanjang dan mengadap pada padang yang dipenuhi dengan
rumput dan kemuncup-kemuncup itu. “Is, saya mahu awak tampil ke hadapan”. Cikgu
Faisal bersuara. Nah! Nama aku dipanggilnya ‘Is’. Kawan-kawan pakat la ketawa,
nama aku yang penuhnya Isa dan dipanggil ‘Sa’ oleh kawan-kawan. Namun pada hari
ini aku mendapat nama baru iaitu Is.
“Ya cikgu, apa
kita mahu buat?”, aku bertanya sambil terpinga-pinga dan mengharapkan kawan aku
juga kena dan dipanggil sama macam aku. “Ali, awak juga datang kehadapan,
Khahfi, Nurul, Asy, dan Syikin, saya mahu awak semua tampil kehadapan dan
berbaris sama dengan Is”. Cikgu Faisal memanggil yang lain tanpa menjawab
soalan aku, atau dia sengaja tinggalkan aku dalam tanda tanya.
“Kita mahu potong
rumput guna tangan ke cikgu?” Ali yang sering melawak mula menunjukkan belangnya
memecah persoalan terbuku di kepala otak kami. “Tidak, nanti dulu, bertindak
mengikut arahan.” Boleh tahan juga cikgu Faisal ni bertindak balas dengan
kesengalan Ali.
“Ok, saya
mahu awak IS, Ali, Khahfi, Nurul, Asy,
dan Syikin. Carikan saya antara banyak-banyak kemuncup yang ada di hadapan kamu
ini yang paling cantik pada pandapat kamu. Dan pastikan kemuncup itu adalah
kemuncup yang paling cantik di dunia ini.”
“Owh, itu senang
saja cikgu, saya yang dah cantik ini mesti pilih kemuncup yang cantik juga
cikgu,” Asy mula berseloroh dan mendapat sorakan kawan-kawan yang lain.
Walaupun sememangnya dia cantik, namun sudah berpunya, kekasihnya kawan aku
juga, Azmi namanya.
“Ye la awak
cantik,” cikgu Faisal hanya mengiyakan sambil ketawa serta. “Tetapi dengan satu
syarat, kamu semua hanya dibenarkan untuk mengambil hanya satu kemuncup sahaja
antara yang tercantik itu. Ingat ya hanya satu kemuncup sahaja! Kawan-kawan
yang lain perlu perhatikan apa yang kawan-kawan anda lakukan. Ok mula mencari!”
Apabila kami mula
mencari, aku sendiri semasa menerima arahan cikgu Faisal sudah pun tangkap pada
kemuncup di hadapan aku, yang aku kira paling cantik. Dengan dipenuhi dengan
bunga kemuncup, batang yang putih besar, kembangnya seakan bunga teratai, dan
amat segar walaupun matahari lama memancar. Aku membongkokkan badan untuk
mengambil kemuncup itu aku tengok kaki seluar aku sudah dihinggapi beberapa
bunga kemuncup. Aku tidak boleh duduk, nanti bahagian paha seluar dan punggung
akan dihinggapi kemuncup juga. Jadi aku hanya membongkokkan badan untuk
mengambilnya.
Aku hampir mahu
berteriak untuk memberitahu cikgu Faisal yang aku sudah pun mendapat kemuncup
yang paling cantik di dunia ini. Namun! Apabila aku mahu mendongahkan badan,
aku lihat di hadapan aku ada juga kemuncup yang kembangnya segar dengan
dipenuhi dengan bunga-bunga kemuncup. Aku tanpa berfikir, membuang kemuncup
yang pertama dan berjalan ke hadapan untuk mengambil kemuncup yang kedua.
Setelah
mencabutnya, aku lihat dengan perasaan tidak sedap hati. Dalam fikiran aku,
kemuncup ini terlalu banyak bunganya sehingga nampak seperti rambut vokalis
Alleycats pula. Jadi aku membuangnya dan mencari kemuncup yang lain pula.
Semasa berjalan sambil mencari-cari, aku lihatlah Khahfi, Ali, Nurul
masih lagi mencari-cari kemuncup yang dirasakan paling cantik. Hanya Asy dan
Syikin aku lihat sudah berada dekat dengan cikgu Faisal. Mereka berdua sudah
temui kemuncup yang paling cantik aku kira.
Aku sendiri
setelah lima batang kemuncup aku buang, dan ini aku kira yang paling cantik dan
amat cantik yang pernah aku lihat didunia ini. Aku pun berjalan terus dengan
cikgu Faisal melalui padang kemuncup itu tanpa menghiraukan seluar yang sudah
dipenuhi dengan bunga-bunga kemuncup.
“Ini ha cikgu,
kemuncup yang paling cantik pernah saya lihat” aku memberitahu cikgu Faisal
dengan perasaan bangga. “Ini cikgu, lima batang kemuncup yang semuanya cantik,
saya tidak boleh pilih satu aja, sebab saya rasa semuanya cantik,” Khahfi menyatakan sebab dia memilih lebih daripada
satu kemuncup kepada cikgu Faisal. Ali pula berjalan sambil melompat-lompat
datang tanpa mendapatkan satu pun kemuncup. Dia menyatakan yang tidak temui
kemuncup yang paling cantik sebab semuanya sama pada matanya.
Nurul pula, sama
seperti Asy dan Syikin, membawa satu kemuncup yang pada mereka amat cantik.
Yang bezanya Nurul sama dengan aku, iaitu banyak membuang kemuncup-kemuncup dan
mencari-cari yang paling cantik, dan mendapatkan yang paling cantik pada mata
kami sendiri. Asy dan Syikin, mereka berdua yang paling awal menemui kemuncup
yang paling cantik bagi mereka dengan hanya satu kemuncup.
“Ok semua hero dan
heroin kita sudah mendapatkan kemuncup tercantik, jadi mari kita masuk ke kelas
untuk aktiviti seterusnya.”
“Silakan hero dan heroin kita datang ke hadapan
dan bawa kerusi anda masing-masing. Kita mahu anda ceritakan pengalaman anda
semasa aktiviti tadi dan saya mahu anda mempertahankan mengapa anda cakap
kemuncup anda yang paling cantik diantara kemuncup-kemuncup kawan-kawan anda.
Saya mahu Khahfi yang amat hebat antara kawan-kawan yang lain dengan memilih
lima sekaligus memulakan”
“Sebenarnya banyak
lagi yang saya jumpa dan cabut, namun banyak pula yang saya buang. Lima ini
yang terakhir setelah melihat kawan-kawan yang lain sudah mendapatkan kemuncup
tercantik mereka. Kalau tidak lagi banyak kemuncup yang akan saya dapat.”
“Saya sudah
mencari-cari kemuncup yang paling cantik. Saya juga telah mencabut dan
mengambilnya sehingga 10 batang, cuba cikgu tengok seluar saya penuh dengan
bunga kemuncup, tapi bila saya lihat balik, kemuncup-kemuncup itu hanyalah sama
rupanya, tidaklah cantik. Jadi semuanya saya buang.” Ali buat pertama kalinya
bercerita dengan amat serius. Kebiasaannya giginya pasti akan kelihatan apabila
menceritakan sesuatu perkara.
Manakala Asy dan
Syikin sama sama cerita mereka. Mereka sudah berpuas hati dengan kemuncup yang
pertama kali mereka cabut dan itulah yang tercantik pada mereka.
Aku pula. “Cikgu,
saya telah cabut yang pertama, yang saya tengok semasa cikgu memberi arahan lagi.
Tapi bila saya cabut tu, saya tengok dihadapan saya masih ada yang amat cantik berbanding dengan kemuncup yang berada
ditangan saya. Jadi saya buang dan cabut yang itu. Tapi bila cabut kemuncup
itu, saya tengok kemuncup lain lagi cantik. Sehinggalah saya dapat yang
terakhir ini yang saya kira paling cantik. Kerana ia tidak lebat bunga-bunga
kemuncupnya, hanya sedang-sedang, bunga masih kembang mekar, lilitan bunganya
juga tersusun cantik menandakan masih belum ada yang tercabut, dan batangnya
putih bersih menandakan kemuncup ini belum pernah terusik oleh sesiapa. Saya
orang yang pertama yang menjumpainya dan mengambilnya menjadi milk saya!”
Semasa aku
bercerita itu, aku lihat Nurul sengeh malu. Rupa-rupanya situasi dia sama
dengan aku. Mungkin itu sebabnya dia juga hanya dapat satu kemuncup sama
seperti aku.
“Terima kasih saya
ucapkan kepada hero dan heroin kita, dan berikan tepukan gemuruh buat mereka
berenam.”
“Sebenarnya saya
mahu anda semua membuat ironi iaitu mencari falsafah disebalik aktiviti dan
pengalaman mencari kemuncup tercantik pada hari ini.
“Jika kau semua
mahu tahu. Perkara ini samalah dengan kamu mencari kekasih atau isteri bagi
lelaki atau suami bagi perempuan. Jangan tersilap tau. Jangan pula lelaki
mencari suami. Itu bermakna anda mempunyai hormon yang tidak stabil.” Cikgu
Faisal berseloroh.
“Falsafah yang
cuba cikgu ungkapkan di sini ialah, kemuncup itu adalah ibarat pasangan hidup
kita. Dan bunga kemuncup yang melekat pada seluar anda ialah masalah-masalah
yang anda hadapi.”
“Dan apabila anda
sudah memilih kemuncup yang terbaik. Pada kemuncup itu terdapat bunga
kemuncup, yang juga sama melekat pada seluar kamu. Jadi menjadi tanggungjawab
kamu untuk menjaga kemuncup itu agar bunganya tidak mendatangkan masalah kepada
kamu.”
“Bagi situasi
Khahfi, mengikut falsafahnya, Khahfi mungkin akan berkahwin lebih daripada
seorang atau mempunyai ramai kekasih. Kerana bagi beliau semuanya cantik-cantik
dan semuanya dia mahu mengambilnya.”
“Betullah cikgu,
Khahfi memang ramai kekasih, dia pecinta wanita di sekolah ini,” Sabri mencelah
dan membuahkan ketawa oleh kawan-kawan sekelas. Sambil Khahfi menyiku lengan
Sabri, yang berada disampingnya.
“Ha betulkan cikgu
cakap, tak mengapa Khahfi, itu menandakan awak penyelamat ramai wanita,” cikgu
Faisal memberi ulasan sambil disambut ketawa oleh rakan sekelas.
“Ok, bagi situasi
Ali. Awak Ali saya kira orang yang cerewet dalam memilih pasangan. Awak popular
dan ramai peminat, tapi semuanya awak tolak dan menganggap mereka hanya rakan
biasa, bukannya insan istimewa dalam hidup awak, betul atau tidak Ali?”
“Betullah cikgu,
saya dah lama minat Ali, tapi dia tak layan je,” pengakuan Azie sekali lagi
membuatkan seluruh kelas pecah perut. Azie merupakan salah seorang dalam kelas
yang mempunyai badan bersaiz XXL dalam kelas itu membuat pengakuan lisan yang
berani.
“Sekarang tiba
pula dua orang wakil pahlawanis kita iaitu Asy dan Syikin. Awak berdua tidak
perlu risau, kerana dalam semua dalam kelas ini, awak berdua insyaallah orang
yang mula-mula berkahwin atau paling awal berpunya. Kerana awak berdua tidak cerewet dan tidak memilih.
Bagi awak berdua, yang pertama itu yang terbaik” Asy dan Syikin malu-malu
apabila dipuji sedemikian rupa.
Aku lihat kekasih
Asy, Azmi juga seakan menonjolkan diri untuk menyatakan dialah yang pertama terbaik
itu.
“Dan yang tinggal sekarang ialah hero dan heroin
idaman Malaya kita iaitu Is dan Nurul.
Bagi saya menurut falsafahnya anda berdua adalah secocok untuk menjadi pasangan
seiring sejalan ibarat Nabi Allah Sulaiman dan puteri Balqish, sebahagia Nabi
Muhammad SAW dengan permaisuri Siti Khadijah, dan sesetia Zulaikha kepada Nabi
Yusof”
Aku pada waktu itu
berdebar dan mula merasa panas pada muka.
“Anda berdua ada
persamaan dalam memilih pasangan hidup. Anda mencari sesuatu yang terbaik dalam
hidup ini untuk dijadikan pasangan yang betul-betul untuk diri anda. Dan
pilihan itu memenuhi citarasa serta kehendak hati anda. Walaupun dalam proses
pencarian itu, pelbagai dugaan dan cabaran yang anda tempuhi, namun akhirnya
anda berjaya juga mencari yang terbaik untuk menjadi pasangan hidup anda
selama-lamanya.”
Muka aku masa itu
sudah merah padam. Memang rasa panas seluruh muka. Mungkin darah sudah memenuhi
ruang muka aku.
“Perkara ini
samalah dengan aktiviti kita itu tadi. Anda mencari dan menjumpai kemuncup,
tapi membuangnya untuk mencari yang lain sehinggalah mendapat kemuncup
tercantik ibarat anda mencari pasangan hidup dan ada yang anda tidak berkenan
tetapi akhirnya anda temui pasangan yang betul-betul memenuhi kehendak anda. Dalam
masa yang sama seluar anda dipenuhi dengan puluhan bunga kemuncup, diibaratkan
anda menghadapi banyak masalah dan masalah itu anda tidak hiraukan setelah
mendapat pasangan yang paling anda sukai.”
“Sebab itulah kita
lihat tadi Is dan Nurul berjalan selamba saja keredah kemuncup untuk datang
berkumpul bersama kawan-kawan, Ali berjalan sambil melompat-lompat kerana tidak
mahu seluarnya dihinggapi lebih banyak bunga kemuncup yakni menghadapi lebih
banyak masalah. Dan Khahfi..”
Cikgu Faisal
berhenti sekejap berbicara, membuatkan semua kelas tersenyum kecuali aku. Aku
kira aku yang tidak senyum kerana terlalu malu rasanya dengan ulasan oleh cikgu
Faisal.
“Ok Khahfi, awak
tiada masalah, kerana bagi awak masalah itu biasa, sebab lima batang kemuncup
yang awak boleh ambil bermakna awak boleh handle
ramai wanita-wanita.”
Hahaha...kelas
waktu itu menjadi seperti padang bola ketika perlawanan akhir. Semuanya
menyorak kepada Khahfi, dan Khahfi ketika itu hanya senyum selamba mengiyakan
kata-kata cikgu Faisal. Mungkin dalam hatinya berkata ‘aku kahwin empat pun
tidak kisah, boleh kawal semua’.
“Bagi Asy dan
Syikin pula, anda tidak akan menghadapi apa-apa masalah, kerana anda hanya
pilih sahaja. Cuma nasihat saya carilah yang seperti Khahfi nanti awak berdua
boleh bermadu”.
Nasihat cikgu
Faisal membuatkan Azmi masam kembali kerana namanya tidak disebut
sebagai kekasih Asy.
Sekali lagi kelas
hampir pecah dengan hilai tawa kami semua. Aku yang tadinya sedikit senyap
sudah mula mengukir senyuman ketawa malu-malu.
“Bagi Is dan
Nurul, selamat bertemu jodoh saya doakan untuk awak berdua.” Cikgu Faisal
berkata sambil menjeling penuh makna pada aku dan Nurul.
“Kamu semua sudah
besar dan bakal menempuh alam dewasa serta meninggalkan alam remaja, jadi saya
rasa perkara ini memberi makna kepada awak semua. Saya bukannya mengajar untuk
awak bercinta semata-mata. Namun, awak semua perlulah pandai mencari cinta yang
sebenar. Kerana cinta itu maksudnya bagi bijak pandai ialah rasa tanggungjawab. Apabila anda mencintai seseorang, maka anda mempunyai tanggungjawab terhadap insan yang anda cintai itu. Dan anda juga perlu ingat, cinta yang hakiki hanyalah pada Allah dan Rasul.”
Aku menjeling pada
Nurul yang berada sedikit didepan kelas. Dia juga menoleh pada aku dan
membuatkan mata kami bertentang beberapa saat yang aku rasakan amat lama
sehingga dunia ini aku yang punya. Aku juga perasan yang muka Nurul yang putih
itu juga turut kemerah-merahan menahan malu. Pipinya... kemerah-merahan... Oh!...
“So!” “Hero dan heroin kita boleh
bersihkan bunga kemuncup yang melekat pada seluar dan kain anda sebelum cikgu
lain masuk untuk mengajar.”
Adui ungkapan
cikgu Faisal telah memutuskan sambungan karen
mata aku dengan Nurul. Dan aku lihat wajah Nurul pun seakan kecewa dengan
ungkapan yang tiba-tiba dan kuat itu.
***
Aku berpaling pada
isteriku. Dia sudah pun terlena di sofa berhampiran meja tulis aku. Aku lantas
menutup komputer. Aku menghampiri isteriku, mencium dahinya, mengusap-usap
rambutnya, membelai pipi kemerahan-merahannya yang masih sama seperti pertama kami mata kami bertentang mata di kelas ketika tingkatan 6 atas, dan aku mencium dahinya sekali lagi.
“ Cik Nurul
sayang, bangun sayang, kita masuk tidur. Nanti sakit pinggang pula sayang tidur
di sini. Jom!”
Aku memegang
tangannya untuk dia bangun dan menarik hidungnya dengan manja seperti selalu.
Sambil tersenyum, aku terkenangkan peristiwa di dalam kelas cikgu Faisal dan
kemuncup. Dan isteriku melihat aku dengan tanda tanya dalam kenanaan kerana
mengantuk.
Tamat
(Sumber : dalam kepala hotak berjambul aku)
*gambar itu aku
cedok, dan sumbernya anda boleh klik pada gambarnya. tapi ceritanya serius
dalam otak aku.