Saturday, January 8, 2011

Tugasan HKN 202 - i got A ...

Rasional Undang-undang Melaka memberi pilihan hukuman kepada pesalah.

Maksud undang-undang menurut kamus dewan edisi ke empat ialah hukum atau peraturan. Undang-undang juga ialah adat atau hukum adat yang menjadi amalan atau dipatuhi di sesuatu tempat undang-undang itu digubal. Undang-undang ini yang pada asalnya dihafal dan diwarisi daripada generasi demi generasi. Selepas itu ditulis dan dibukukan untuk memudahkan undang-undang itu dirujuk bagi tujuan menjalankan pentadbiran, pemerintahan, menjatuhkan hukuman, dan menjalankan sesuatu upacara. Jika pada masa sekarang, contohnya negara Malaysia undang-undang ini disebut sebagai perlembagaan dan kuasa perlembagaan ini mengatasi segala kuasa termasuklah pemerintahan dan golongan yang diperintah.
Ketika era pemerintahan raja melayu dahulu, terdapat banyak undang-undang yang digubal dan ditulis oleh pembesar istana atau menteri. Undang-undang pula sebenarnya wujud bersumberkan daripada adat yang diwarisi sesebuah masyarakat. Setiap negeri boleh dikatakan ada undang-undang bertulisnya sendiri antaranya Undang-undang Melaka yang juga disebut hukum kanun Melaka, undang-undang laut Melaka, undang-undang Kelantan, dan lain-lain. Sememangnya kepentingan undang-undang dimasa silam tidak dapat dipertikaikan dan kekuasaan sesebuah kerajaan itu dipengaruhi oleh undang-undang yang mencakupi setiap aspek pentadbiran kerajaan.
Oleh itu, dengan adanya sistem undang-undang ini, akan mempamerkan kekuasaan sesebuah kerajaan. Jesteru, perbincangan ini akan dilanjutkan dengan melihat pada undang-undang yang dikatakan tertua di alam Nusantara ini iaitu Undang-undang Melaka. Selain merupakan karya yang tertua dan pertama dalam genrenya, kepentingan undang-undang Melaka terletak pada kedudukannya yang menjadi dasar utama kepada kewujudan karya undang-undang negeri lain kemudiannya. Dengan ini, boleh dikatakan bahawa undang-undang Melaka yang mengandungi 44 fasal ialah undang-undang yang sangat penting di zamannya. Undang-undang Melaka merupakan undang-undang adat yang diwarisi daripada turun-temurun pada zaman Sultan Iskandar Dhu’l-Karnain lagi sehinggalah dibukukan secara bertulis pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad Syah ketika memerintah kerajaan Melaka.
Apabila membincangkan tentang undang-undang Melaka, terdapat pelbagai isu yang dapat dikupas dan diutarakan implikasi daripada adanya undang-undang itu sendiri. Antara isu yang akan dibincangkan oleh saya dalam penulisan esei ini ialah isu kerasionalan undang-undang Melaka yang memberi beberapa pilihan hukuman kepada pesalah yang melanggar undang-undang ini.
Sepertimana umum sedia tahu undang-undang Melaka ini banyak memberi pilihan kepada pesalah untuk untuk memilih salah satu hukuman yang dirasakan sanggup diterima atau ditempuhi oleh pesalah berasaskan kesalahan yang dilakukan dan peruntukan hukuman yang termaktub didalam undang-undang. Oleh itu, terdapat banyak rasional disebalik pilihan hukuman ini diberikan, yang mana hukuman ini bukanlah untuk menghukum pesalah semata-mata. “Maka dihimpunkan hukum ini atas barang patutnya yang dihukumkan”, (undang-undang Melaka,64). Petikan muka surat 64 undang-undang Melaka ini dapat dijadikan kata kunci yang dapat ditafsirkan hukuman hanya akan dijatuhkan kepada pesalah berdasarkan kesalahan yang dilakukan selepas pilihan dibuat. Hal ini menunjukkan, hukuman akan dilaksanakan setelah pesalah memilih cara hukuman yang sanggaup diterima oleh mereka.
Menurut kamus dewan edisi ke empat, rasianal ialah alasan munasabah yang mendasari sesuatu tindakan dan sesuatu keputusan yang dicapai mengikut fikiran yang sihat. Oleh itu, dapat dikatakan bahawa tindakan rasional dalam kontek esei ini ialah, alas an munasabah yang dapat dilihat daripada cara pemerintah memberi beberapa pilihan kepada pesalah.
Antara rasional yang jelas dapat dilihat daripada pilihan hukuman yang diberikan ialah untuk menjaga kedaulatan dan kekuasaan pemerintah atau raja. Pada zaman kesultanan Melaka, kuasa yang akan menjadi kayu ukur penentu jatuh bangun dan berkembang aman makmur sesebuah kerajaan. Oleh itu, seseorang raja yang memerintah tidak boleh hanya memiliki hamba yang ramai, tetapi penegasan tindakan undang-undang perlu dititik beratkan seiring dengan pemerintahannya. Hal ini kerana, pesalah bukanlah hanya daripada kalangan rakyat sahaja, tetapi golongan pembesar dan hamba raja juga berkebarangkalian untuk sama-sama melakukan kesalahan dan seterusnya menderhaka kepada raja. Jika tiada undang-undang ini, maka pentadbiran pemerintahan seseorang raja akan menjadi kucar-kacir. Namun, dalam menjatuhkan hukuman terhadap pesalah, raja tidak sewenang-wenangnya melaksanakan hukuman. Hal ini disebabkan akan mengugat konsistensi pemerintahan raja tersebut. Oleh itu, diwujudkan pilihan hukuman terhadap pesalah yang melakukan kesalahan. Dengan cara ini, setiap pesalah tetap akan dihukum terhadap kesalahannya, tetapi pilihan hukuman mereka sendiri yang memilihkan daripada pilihan yang diberikan seperti mana termaktub dalam undang-undang Melaka. Oleh itu, mereka yang bersalah tidak akan seratus peratus mendendami raja apabila dijatuhkan hukuman kerana hukuman itu mereka sendiri yang memilihnya. Kesimpulannya, kedaulatan raja itu akan sentiasa terjaga daripada cela dan suci.
Selain itu, rasional pilihan hukuman ialah membawa rakyat dibawah kekuasaan raja kepada sistem perundangan yang lebih baik daripada hukum rimba yang dikatakan sering berlaku ketidakadilan terhadap rakyat yang lemah. Jika kita lihat pada hukuman kesalahan tuduh-menuduh :
“adapun seorang itu menuduh dan seorang itu bersangkal, maka ditanyai oleh kami. Jikalau ia mau berlawan, diperlawankan; itupun jika tiada syaksi berdiri. Jikalau ada syaksi dua orang atau seorang, dihukumkan oleh hakim atas adat kanun. Adapun pada hukum Allah, sekadar disuruh bersumpah menjabat mimbar juga pun padalah.” (Undang-undang Melaka :88)
Daripada petikan diatas, maka dapatlah diutarakan bahawa, hukum rimba berlawan berselam air atau bercelur minyak atau timah (undang-undang Melaka :88) yang berunsurkan hukum Hindu adalah sangat berat ditanggung atau dihadapi oleh pihak tuduh-menuduh yang lemah. Walaupun pihak yang lemah itu sebetulnya dia benar, tetapi kerana kelemahannya untuk menjalani proses pengadilan hukum rimba yakni bercelup tangan, maka dia akan dikira bersalah, dan pihak yang bohong akan menang. Seterusnya ketidakadilan akan berlaku. Oleh itu, mereka boleh memilih proses bela diri bersumpah dengan nama Allah SWT. Dengan cara ini, mereka yang tuduh menuduh tidak akan berbohong kerana takut akan bala dilaknat Allah. Selain itu, mereka yang mempunyai saksi akan berada dipihak yang benar dan pihak yang bersalah akan menerima hukumannya. Hukuman ini akan dilaksanakan mengikut pembicaraan undang-undang iaitu jika besar kesalahannya akan dibunuh dan jika kecil kesalahannya akan didenda atau dimaafkan oleh hakim. Rumusannya, pilihan hukuman ini akan membuatkan rakyat tidak dibebani dengan hukum rimba yang sememangnya berat sebelah dan tidak adil terhadap rakyat yang lemah.
            Rasional undang-undang Melaka memberi pilihan hukuman kepada pesalah juga ialah untuk menarik rakyat yang kafir untuk memeluk agama Islam. Setelah kedatangan Islam ketika pemerintahan Sultan Muhammad Syah (Raja Kecil Besar, nama sebelum memeluk agama Islam), ketika itu juga aktiviti perdagangan giat berkembang di Melaka. Oleh itu ramailah yang mula menetap di Melaka. Oleh sebab ajaran Islam itu bukanlah agama paksaan yang memaksa umat manusia memeluk Islam. Maka, undang-undang dibuat yang berunsurkan ajaran Islam untuk menarik rakyat yang bukan beragama Islam untuk menganut agama Islam. Contohnya ialah pilihan cara pengadilan kesalahan tuduh menuduh iaitu “Adapun pada hukum Allah, sekadar disuruh bersumpah menjabat mimbar juga pun padalah.” (Undang-undang Melaka :88). Proses pengadilan ini walaupun nampak ringan dan biasa serta mampu dilakukan oleh pesalah. Namun, pihak yang ingin bersumpah itu mestilah beragama Islam dan memiliki keimanan yang jitu kepada Allah SWT. Secara khususnya, proses pengadilan ini akan membuatkan pesalah tuduh menuduh akan memeluk agama Islam apabila tertarik dengan cara pengadilan yang adil dan menambah keimanan mereka kepada Allah yang Esa.
            Selain itu, bagi hukuman kesalahan membunuh pula, mengikut hukum Islam, adalah dibunuh orang yang melakukan kesalahan itu. Walaupun hukuman ini tidak Nampak pilihan diberikan kepada pesalah, namun hukuman ini adil dari segi hukumnya. Pilihan bunuh orang kesalahan membunuh akan membuatkan keluarga atau puak yang kena bunuh akan merasa hukuman itu adil dan berpuas hati dengan perilaku kesalahan yang dilakukan. Oleh itu, rakyat yang bukan Islam akan tertarik dengan hukuman cara Islam yang adil. Mereka akan memeluk agama Islam dan seterusnya menjalani kehidupan yang harmoni dengan pegangan agama Islam.
            Pilihan hukuman yang diberikan juga akan membentuk keharmonian dan kesejahteraan rakyat dengan mengikut hukum adat yakni undang-undang Melaka. keharmonian sesebuah kerajaan sangat penting kerana apabila kerajaan menjadi kacau bilau, ancaman musuh dari luar untuk menakluki negeri akan terbuka luas. Mengambil petikan daripada fasal 17.2  iaitu “itulah dihukum oleh hakim dengan tiada lagi bersalahan supaya terpelihara segala rakyat.”. Daripada petikan tersebut dapat kita huraikan bahawa hukuman yang dijatuhkan oleh hakim atau raja itu adalah untuk tujuan memelihara rakyat dibawah kekuasaan raja yang memerintah. Hukuman ini akan dapat dilaksanakan oleh rakyat walaupun susah untuk dihadapi. Namun pilihan yang dibuat berdasarkan hukuman yang dirasakan patut ditanggung oleh rakyat yang bersalah.
            Hukuman yang dijalankan terhadap rakyat juga sebenarnya membela rakyat yang miskin dan tidak mampu untuk membayar hukuman berbentuk bayaran denda. Walaupun kekuasaan pemerintahan hak raja secara mutlak, namun undang-undang yang digubal dan diabalkan masih menuntut raja menggunakan budi bicara untuk membela rakyat dalam cara menjatuhkan hukuman. Raja juga tidaklah bertindak secara zalim semasa mengadili sesuatu kesalahan, kerana hukum adat akan membantu raja tentang hukuman untuk menjatuhkan hukuman. Dengan mengambil contoh daripada fasal 8.1 bagi kesalahan rakyat yang merdeka menetak hamba abdi dia akan didenda setengah harga. Namun jikalau rakyat yang merdeka itu miskin, maka kenalah denda sepuluh emas (undang-undang Melaka : 74). Walaupun hukuman denda tetap dikenakan, pilihan hukuman yang diberikan telah dapat membantu meringankan beban rakyat yang miskin untuk membayar denda yang telah dikenakan terhadapnya. Keadilan telah wujud pada pilhan hukuman ini.
            Pilihan hukuman ini juga merupakan satu tindakan pemerintah untuk menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh pesalah dan secara tidak langsung juga cara pemerintah ingin berdakwah melalui hukuman atau proses pengadilan yang dikenakan. Contohnya hukum berunsurkan agama Hindu iaitu celup tangan dalam air atau minyak atau timah.
“Adapun pada hukum kanun, disuruh ia berlawan berselam air atau bercelur minyak atau timah. Maka disuratkan Kuran pada tembikar kuali itu. … . Maka dibubuhkan pada kawah atau kuali. Maka disuruhkan antara keduanya itu mengambil tembikar itu dengan sekali celup tangannya juga. Barangsiapa alah, maka dihukum atas hukum negeri atau dusun, …” (undang-undang melaka :88)
Petikan di atas dapat dikatakan bahawa, apabila orang Islam atau yang bukan Islam memilih untuk mengikut hukuman ini, secara tidak langsung mereka akan mempercayai kebesaran dan keagungan surah-surah al-Quran, yakni agama Islam dan kebesaran Allah SWT. Terutamanya apabila orang yang bersalah akan melecur kulit tangannya dan orang yang benar tidak akan luka tangannya. Semua ini boleh terjadi dengan rahmat kebesaran kekuasaan Allah SWT.
            Oleh itu, mereka yang terlibat dalam proses pengadilan dan rakyat menyaksikan pelaksanaan hukuman ini akan mempercayai agama Islam dan mengukuhkan keimanan serta ketakwaan mereka kepada Allah SWT. Oleh itu, pilihan hukuman yang diberikan kepada rakyat walaupun berunsurkan agama Hindu, namun unsur Islam yang diselitkan dalam hukuman ini dapat memberi kesan yang lebih mendalam kepada mereka yang terlibat berbanding unsur agama Hindu. Ini kerana, tangan orang benar tidak akan melecur apabila tekad kepada Allah SWT.
            Rasional pilihan hukuman diberikan  kepada pesalah juga ialah dapat memberi peringatan atau ugutan kepada rakyat dan pesalah untuk tidak melanggar undang-undang yang telah tersedia ada. Walaupun pada hukumnya dapat dilihat pesalah boleh memilih hukuman yang ingin dihadapi oleh mereka, namun hukuman yang diberi pilihan ini adalah hampir sama bebanannya, yakni sama berat. Contohnya pada fasal 11.2 iaitu mencuri tanaman orang, jika ditangkap pencuri itu pada siang hari iaitu selepas orang itu mencuri, hakim akan menjatuhkan hukuman beri malu dengan sepuluh emas dan jika hasil kecurian habis dimakan, hakim akan menyuruh pencuri itu mengantikan dengan harga barang yang dicuri dan dikenakan denda. Jika dilihat, walaupunterdapat pilihan pada hukuman ini, tetapi keseimbangan beban hukuman adalah sama. Dengan cara sebegini, rakyat dan pesalah akan merasa takut untuk melakukan jenayah serta mencetuskan perkara yang melanggar undang-undang Melaka.
            Seterusnya, rasional undang-undang Melaka yang memberi pilihan kepada pesalah ialah untuk meringankan bentuk hukuman. Contohnya pada fasal 11.4 perenggan ke tiga, pada hukum Islam, jika pencuri mencuri haiwan ternakan, maka pencuri itu perlu membayar ganti rugi nilai barang yang dicuri serta tidak dikenakan denda seperti hukum adat. Pilihan antara hukum adat dengan hukum Islam telah menunjukkan adanya pilihan hukuman yang dapat dilakukan oleh pesalah untuk menjalani hukuman yang dijatuhkan keatas dirinya. Bagi rakyak yang beragama Islam, mereka akan memilih untuk menjalani hukuman Islam yang sememangnya akan meringankan sedikit hukuman. Rakyat yang miskin akan dan lemah akan lebih terpelihara dan kebajikan mereka akan dijaga oleh pemerintah walaupun membuat kesalahan yang melanggar undang-undang Melaka.
            Rasional lain yang penting dalam undang-undang Melaka yang memberi pilihan hukuman kepada pesalah ialah untuk mengekalkan kesucian darjat dan takhta raja Melaka. contohnya rakyat tidak dibenarkan memakai pakaian untuk raja, menggunakan bahasa istana, menggunakan kelengkapan diraja. Larangan ini sebenarnya adalah untuk mengekalkan kesucian sistem pemerintahan raja tersebut. Contohnya jika rakyat biasa memakai atau menggunakan hulu keris seperti merubi dan bawang sebongkol, maka jika diketahui oleh raja, maka murka rakyat tersebut dan dan keris itu dirampas. Tetapi jika karis itu adalah anugerah daripda raja dan bendahara yang boleh menggunakan hulu keris sebegitu. Pilihan ini diberikan kepada rakyat agar menyerahkan kerisnya kepada pemerintah. Namun hukuman ini tidak menjadi salah jika keris itu daripada anugerah raja dan saudara mara Bendahara.
            Rasional yang seterusnya ialah melalui pilihan hukuman ini akan memberi peluang untuk rakyat yang bersalah atau pesalah mendapat hak pembelaan diri. Dalam kontek ini, pembelaan diri sudah terdapat di dalam undang-undang Melaka. Jika dilihat pada masa sekarang iaitu, sesuatu pertuduhan di mahkamah, oleh itu, sudah menjadi sistem mahkamah. Contohnya kesalahan tuduh menuduh, dipetik daripada undang-undang Melaka, “…jikalau ada syaksi dua orang atau seorang, dihukum oleh hakim atas barang adat kanun.” Daripada petikan diatas dapat kita perhatikan bahawa pihak yang benar bagi kesalahan tuduh menuduh boleh mengemukakan saksi yang benar bagi membuktikan beliau tidak bersalah. Oleh yang demikian, dengan adanya pilihan sebegini akan membuatkan rakyat mendapat pembelaan yang sewajarnya sejajar dengan pelaksanaan undang-undang bersistematik. Pelaksanaan undang-undang juga tidaklah menindas rakyat seperti hukum rimba yang tidak memberi peluang kepada pesalah membuat pembelaan.
            Kesimpulannya, dapat kita perhatikan implikasi daripada wujudnya undang-undang ini telah banyak membantu raja, para pembesar, dan rakyat menjalani kehidupan dengan sempurna dan dalam keadaan aman damai serta harmoni. Pelaksanaan pilihan hukuman yang diberikan kepada pesalah juga dapat mengelakkan penyalahgunaan kuasa oleh pihak atasan. Hal ini kerana, undang-undang Melaka menyentuh semua aspek dalam pemerintahan sesebuah kerajaan. Panduan dalam menjatuhkan hukuman terhadap pesalah akan dilakukan secara berhemah dan adil.
            Dengan adanya pilihan hukuman ini juga, raja yakni pemerintah akan dapat menyedarkan rakyat selain para pemerintah agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah termaktub dan menjadi perlembagaan yang mengawal seluruh tindak tanduk rakyat serta pemerintah dalam kehidupan sehari-hari. Oleh itu, keadilan yang wujud dalam pelaksanaan undang-undang ini akan membuatkan rakyat atau pesalah sanggup menerima hukuman itu. Faktor mendendami pemerintah mungkin akan dapat dikurangkan.
            Namun perlu diingatkan, walaupun terdapatnya pilihan hukuman diberikan terhadap pesalah, tidak bermakna adanya hukuman yang membolehkan pesalah lepas tanpa sebarang pendakwaan. Hukuman akan tetap dikenakan kepada pesalah, cuma ada pilihan diberikan yang membolehkan pesalah memilih hukuman yang mahu diikuti oleh mereka.


Bibliografi
A. Samad Ahmad (penyelenggara). (2003). Sulalatus Salatin Sejarah Melayu (edisi pelajar). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Jelani Harun .(2008). Undang-undang Kesultanan Melayu dalam perbandingan. Pulau Pinang. Penerbit Universiti Sains Malaysia.

Kamus Dewan (edisi ke empat). (1991). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Liaw Yock Fang. Undang-undang Melaka. : Koninklijk Instituut.



No comments: